4 Maret 2010

Cinta sejati

Justeru, mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta yang dibina bermatlamat. Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta yang punya pengertian yang luhur dan hanya dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang sentiasa mencari Tuhan. Dalam erti kata lain, cinta seorang suami kepada isterinya adalah diharuskan. Begitu juga cinta kedua orang ibu bapa terhadap anak-anaknya, cinta seseorang kepada harta bendanya, cinta kepada kenderaan kesayangannya, cinta kepada binatang ternakan dan cinta kepada tanah kebunnya yang luas adalah cinta yang diharuskan oleh Allah Taala kepada umat manusia.

Malah Islam juga menganjurkan setiap Muslim agar mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Ia adalah sendi akhlak Islam yang tinggi dan terpuji. Memadailah baginda Rasulullah SAW sebagai model terbaik dalam membuktikan kecintaannya yang mendalam kepada para sahabatnya dan segenap lapisan masyarakat umatnya. Itulah contoh cinta ideal yang sewajarnya diikuti dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan Muslim masa kini dalam usaha untuk menjana kesatuan ummah yang padu dan jitu dalam mendepani cabaran globalisasi dewasa ini .

Apa yang penting adalah remaja harus menyedari bahawa hakikat cinta hanyalah kepada Allah semata-mata kerana cinta kepada-Nyalah yang akan kekal abadi.

Ayu mengangguk-angguk tanda setuju sambil menambah, “Ya, aku percaya bahawa cinta perlu difahami. Semestinya seorang remaja perlu memahami kehendak dan definisi yang tepat. Mereka perlu tanya pada diri sama ada cinta hanya sekadar gelojak perasaan serta rasa tertarik antara satu sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya? Adakah setakat mengisi usia remaja dan adakalanya putus di tengah jalan? Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh romantis dan indah.”

“Malangnya remaja mudah hilang punca dan meletakkan satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat cinta. Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab, kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat. Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang dikatakan sebagai cinta, maka hubungan sedemikian sekadar satu permainan dan kepura-puraan sahaja. Hari memperingati kekasih juga misalnya bukanlah budaya orang Islam, dan bukan juga resam orang Melayu atau bangsa lain di negara kita. Tetapi malangnya ramai daripada kita terikut-ikut tanpa menyedari implikasinya,” balas Nadia melengkapkan hujah Ayu.

“Ada di kalangan remaja berpendapat bahawa hidup hanya sekali. Kehidupan remaja yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan hanya sekali. Tempoh itu harus digunakan sepenuhnya untuk bersuka-ria, melakukan dan mengalami apa sahaja yang tergerak di hati dan teringin oleh nafsu. Mereka berpendapat bahawa remaja harus mencuba dan terus mencuba sesuatu yang dilihat terlarang. Sudah dicuba dan dialami, maka barulah diketahui baik buruknya sesuatu. Kalau terlajak pun taubatnya kemudian.”

“Sikap remaja yang seperti ini amat bahaya dan bakal merosakkan. Sekiranya remaja terlajak lazimnya ia menjadi ketagihan. Merokok, mulanya cuba-cuba akhirnya timbul ketagihan. Mengambil ganja mulanya cuba-cuba, akhirnya menjadi ketagih dan akhirnya terjebak dalam perangkap salah guna yang teruk. Bercampur gaul tanpa batasan juga amat menyeronokkan nafsu-nafsi, akhirnya remaja terperangkap dengan salah-laku seks yang juga menimbulkan ketagihan,” ujar Nadia lagi.

“Sudahlah begitu, untuk mencari jalan kembali apabila terlajak, ia amat payah. Lihat saja yang tersadai di Pusat-pusat Serenti atau di penjara kerana salah-guna dadah, anak-anak yang lahir daripada perzinaan dan juga masalah keluarga yang pecah belah, harapan untuk dipulihkan amat tipis sekali. Bayangkan bagaimana potensi tenaga muda disalahguna menyebabkan ia rosak dan menjadi beban pula kepada negara,” tambah Ayu pula.

Nadia teringat ustazahnya pernah menceritakan mengenai konsep cinta semasa di sekolah dahulu. Kata ustazahnya, konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan hubungan antara manusia (habblum minannas) dan Allah (habblum minallah). Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi pihak lelaki dan perempuan. Dan percintaan sering dikaitkan dengan matlamat perkahwinan, iaitu ikatan sah antara dua jiwa. Perkahwinan adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia kerana bukan sahaja rasa kasih dan sayang dapat diluahkan secara sah, tetapi juga melengkapi keperluan satu sama lain dan mengembangkan zuriat keturunan secara harmoni.

“Tetapi aku percaya bahawa dengan didikan agama yang kukuh dan kawalan daripada ibu bapa mampu menjaga seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang kurang elok. Kadangkala remaja hanya mengikut perasaan, maka ibu bapa juga wajar mengambil tahu akan perubahan tingkah laku dan perasaan anak-anak mereka.

“Nasihat dan bimbingan daripada mereka amatlah penting dalam mendewasakan pemikiran remaja. Media dan sekeliling juga mesti membantu peranan ibubapa dalam hal ini. Jangan pula didikan di rumah dan di sekolah bisa diruntuhkan oleh rancangan-rancangan dalam media mereka. Suatu pihak berusaha membina, suatu pihak meruntuhkannya tanpa disedari,” ulas Nadia.

Ayu mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata rakan baiknya itu. Dia sama seperti Nadia, mengharapkan remaja segenerasinya tidak terus hanyut dengan proses pembaratan yang sedang berlaku dewasa ini.

Berikan Komentar

Saya member Iwan Fals Blog Saya bukan member